Thursday 21 August 2014

PERANG AKHIR ZAMAN 1.2

Mengenai sabda Nabi tentang negeri Samudera itu sahih atau tidak, saya pun tak berani nak confirm. Yang pasti, ia memang ada dalam kitab Hikayat Raja-raja Pasai dan Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) yang dikarang oleh Tun Sri Lanang, Bendahara Johor pada abad ke 17. Tun Sri Lanang dan kerabat diraja Johor pernah ditawan ke Aceh pada zaman pemerintahan Raja Aceh Sultan Iskandar Muda (mangkat 1636 Masihi) lalu pernah dilantik menjadi pembesar bertaraf raja di Semerlanga Aceh. Sultan Johor ketika itu, Sultan Alauddin Riayat Shah III pula telah dihukum bunuh di Aceh tahun 1615 kerana bersubahat dengan penjajah Barat.
Refer to Jejak Rasul 11 yang ditayangkan di TV3 Ramadhan lalu tentang kehadiran Tun Sri Lanang di Aceh, seorang Bendahara Johor yang terpelajar. Maka itu hadis atau sabda ini bukannya baru muncul tetapi sudah lama terdapat di dunia Melayu. Cuma mungkin ramai yang tidak teliti lalu tak perasan pun ianya ada di depan mata. Refer balik kepada posting pertama saya dalam thread ini.
Kedua-dua kitab ini telah dirumikan dan pernah menjadi bahan text sastera wajib untuk pelajar Tingkatan Enam sekolah-sekolah Malaysia sehingga hujung tahun 80an. Jadi jika sabda Nabi mengenai Samudera di dalam adalah palsu semata-mata, kenapa dibiarkan dalam buku text yang boleh dibaca berjuta-juta umat Islam di Malaysia selama beberapa dekad?
Hikayat Raja-raja Pasai dan Sejarah Melayu edisi rumi terbaru juga telah dibukukan kembali oleh Yayasan Karyawan juga Dewan Bahasa dan Pustaka, boleh didapati di kedai-kedai buku besar seperti Books Kinokuniya dan Bordes. Jadi pada siapa yang sangsi, silalah cari kitab-kitab ini dan baca dengan teliti.
Di sini biar saya beri sedikit latar-belakang kemunculan Islam di Aceh seperti yang diakui para sejarawan peringkat sarjana kemudian cerita-cerita lama dari mulut orang tua-tua dan sumber-sumber tertentu untuk renungan para forumers. Semoga kita semakin faham kenapa panji-panji hitam akan muncul dari Timur. Insya'allah.
-----------------------
Pada tahun 804 Masihi telah muncul satu rombongan 100 orang pendakwah dari Timur Tengah yang berlabuh di Perlak (dalam Aceh sekarang), katanya dari Baghdad. Ketika itu kerajaan Perlak sedang diperintah oleh seorang raja bernama Merah Shahir Nuwi, dikatakan berasal dari keturunan seorang bangsawan Parsi bernama Salman. Sumber-sumber tertentu menyebut Salman yang dimaksudkan adalah sahabat Nabi, Salman al-Farisi. Dan baginda sebenarnya adalah seorang pewaris kerajaan Dinasti Sassanid yang memerintah Parsi, satu di antara dua kerajaan terbesar di dunia dahulukala.
Rombongan ini diketuai oleh seseorang yang cuma dikenali sebagai Nakhoda Khalifah. Termasuk dalam rombongan adalah seseorang bernama Muhammad bin Ja'afar al-Sadiq dan anaknya Ali. Untuk pengetahuan, Imam Ja'afar al-Sadiq adalah seorang Ahlul Bait yang sangat dihormati, pernah menjadi guru kepada imam empat mazhab dan salah seorang Sheikh utama tariqat Naqsyabandiah. Orang-orang Syiah pula mengkultuskan baginda sebagai Imam Syiah ke enam, selepas Saidina Ali, Saidina Hassan, Saidiana Hussein, anaknya Ali Zainal Abidin, anak Ali - Muhammad al- Baqir. Ja'afar al Sadiq adalah anak al-Baqir.
Mereka disambut baik dan dimuliakan, akhlak mereka menarik perhatian sehingga penduduk di sana memeluk Islam malah pusat kerajaan ditukar nama menjadi Bandar Khalifah, ada namanya masih dipakai sehingga sekarang...
Ali bin Muhammad bin Ja'afar al-Sadiq telah dikahwinkan dengan adik kepada Merah Shahir Nuwi iaitu Makhdum Tansyuri. Pada tahun 840 Masihi, anak mereka telah diangkat menjadi Sultan pertama Perlak iaitu Sultan Sayyid Maulana Abdul Aziz Shah. Maka bermulalah pemerintahan keturunan Rasulullah SAW bercampur darah Salman al-Farisi di bumi Serambi Mekah. Ini berlaku 600 tahun sebelum Melaka dibuka, 700 tahun sebelum nama kerajaan Aceh mekar dalam sejarah!
Hikayat Raja-raja Pasai menyebut seorang anak raja bernama Merah Silu telah keluar berburu bersama para pengiring dan anjingnya bernama si Pasai, terjumpa satu tanah tinggi lalu si Pasai terlihat seekor semut sebesar kucing! Merah Silu menangkap semut itu, dibawa balik ke istana lalu dimakannya. Kemudian baginda rasa tempat itu elok dibuat negeri lalu menamakannya Samudera yang bermakna semut besar. Peristiwa ini dianggarkan berlaku pertengahan abad ke 13, dalam tahun 1250an gitu. Tapak pusat kerajaan Samudera terletak berhampiran bandar industri Lhoksuemawe, Aceh, kawasan yang sangat kaya dengan minyak.
Maka tersebut lah sabda Nabi tentang kemunculan Samudera. Sharif Mekak (Raja Mekah dari keturunan Saidina Hassan) telah menitahkan seorang mualim bernama Sheikh Ismail supaya pergi membawa alat-alat kerajaan dari Mekah dan senaskah Al-Quran lalu pergi mencari negeri Samudera untuk mengIslamkan raja dan penduduknya demi memenuhi wasiat Nabi, kerana "dalam negeri itu akan muncul banyak wali Allah."
Maka Sheikh Ismail pun berangkat, singgah di negeri Mengiri (dalam Sejarah Melayu dipanggil Muktabar), kalau tak salah di benua Hindi. Ketika itu raja yang memerintah adalah Sultan Muhammad, dari keturunan sahabat Nabi dan Khalifah pertama Islam, Saidina Abu Bakar al-Siddiq. Apabila mendengar berita tentang kapal dari Mekah ingin ke Samudera atas titah Sharif Mekah, baginda terus turun takhta dan menyerahkannya kepada seorang anak. Terus pakai baju fakir dan membawa seorang anak lain untuk mengikuti rombongan itu. Itulah disebut Fakir Muhammad.
Di Samudera pula, Merah Silu telah bermimpi berjumpa Rasulullah SAW lalu diberi nama Sultan Malikus Salih yang bermakna raja orang-orang salih. Dipendekkan cerita, Sheikh Ismail dan Fakir Muhammad pun sampai ke Samudera dan mengIslamkan penduduknya. Mereka mendapati Merah Silu sudah fasih membaca Al-Quran tanpa sedikit pun bersalahan. Alat-alat kerajaan yang dibawa dari Mekah pun diserahkan kepada baginda dan baginda ditabalkan sekali lagi, kali ini mengikut adat raja-raja Islam dengan menggunakan nobat Ibrahim Khalilullah. Begitulah cerita. Mengikut kajian sejarah, Sultan Malikus Salih mangkat tahun 1297. Baginda juga mengasaskan kerajaan Pasai yang sangat dikenali sebagi pusat penyebaran dan dakwah Islam Nusantara sehingga kemunculan Melaka. Makam baginda tidak disentuh Tsunami walaupun ia terletak tidak jauh dari pantai.
Fikirkanlah dengan jujur dan mendalam. Jika perlu, buat sedikit kajian sendiri, minta petunjuk dari Allah SWT, beristikharahlah, Insya'allah.

CATATAN : SI MERAH SILU

No comments:

Post a Comment